JATUH KE LAUT MENJADI PULAU:
MENGAMATI HUBUNGAN PANTUN MELAYU
DAN PANTOUM BARAT1
Oleh : Profesor Dr. Md. Salleh Yaapar
Universiti Sains Malaysia
------------------------------------------------
Pendahuluan
Perhubungan sastera antara pantun Melayu dengan pantoum atau
pantoun Barat belum banyak diketengahkan untuk pengetahuan umum. Walhal ia amat menarik dan penting bagi memahami liku-liku perhubungan budaya dan silang-penyuburan dalam bidang sastera, khususnya yang melibatkan dunia Melayu dan Barat. Perbincangan ilmiah dalam kalangan pengkaji sastera tentang dua bentuk puisi yang jelas mempunyai afiniti ini juga belum dikendalikan dengn cukup meluas. Dalam lingkungan perbincangan yang agak terhad itu pula kerap timbul gambaran seolah-olah perhubungan tersebut tidak begitu signifikan dan genre
pantoum itu pula tidak berkekalan.
Kertas kerja ini bertujuan mengamati dan memahami corak dan sifat sebenar perhubungan sastera antara pantun yang semenjak zaman berzaman terkenal di seluruh dunia Melayu dan
pantoum yang mulai muncul di Barat dalam abad ke-19. Perhatian akan ditumpukan kepada arah-alir hubungan, bersama parameter geografis dan jangka masanya, serta tokoh-tokoh yang terlibat dengan penghasilan dan perkembangan pantoum. Tentunya aspek struktur dan latar budaya bagi kedua-dua jenis puisi tidak akan diabaikan. Bagi mencapai tujuan tersebut pendekatan kajian genetik (geneologi) dan kajian generik (genologi) dalam ilmu Kesusasteraan Bandingan akan dimanfaatkan.
Perlu dicatat bahawa perbincangan dalam kertas ini masih pada tahap awal. Hal ini kerana banyak bahan yang berkaitan, terutama dari Eropah dan Amerika Utara, yang belum dapat dikumpul dan dikaji oleh penulis2.
seterusnya....