GHAIRAH DUNIA DALAM EMPAT BARIS: 
PANTUN SEBAGAI BENTUK BERSAMA

Oleh: Muhammad Haji Salleh
Universiti Sains Malaysia

------------------------------------------------

Sirih berlipat sirih pinang, 
Sirih dari Pulau Mutiara,
Pemanis kata selamat datang
Awal bismilah pembuka kata.

Terbang burung dari selatan,
Dipuput angan sangga bayu,
Bukalah surat dari lipatan
Lihatlah pantun bahasa Melayu.

Minta daun diberi daun
Dalam daun ada bidara,
Minta pantun diberi pantun,
Dalam pantun ada bicara.



     Ada sebuah puisi yang menjadi ghairah manusia Nusantara. Bentuk dan pengamalannya multi-budaya, multi-bahasa, multi-agama dan multi-ras. Orang Melayu menamakannya, pantun, orang Ambon pula mengenalinya sebagai panton; pantong – kata orang Sri Lanka dan Sulawesi; pantun ialah istilah orang Sunda, tetapi dengan maksud, cerita panjang yang sedih dengan iringan suling. Pada orang Sunda bentuk empat kerat seperti pantun Melayu dikenali sebagai sisindiran atau sesebred. Orang Jawa mengenali bentuk ini sebagai pantung atau wangsalan, peparikan, dan orang Bali sebagai wewangsalan.

     Dalam kajian saya dan Bazrul Bahaman (1999) beberapa tahun terakhir ini kami mengesan bahawa bentuk-bentuk yang ada persamaan unsur dengan pantun Semenanjung dan Sumatera digunakan, di antara lainnya, oleh tidak kurang daripada 29 bahasa, termasuk Aceh, Gayo, Alas, Nias, 4 bahasa Batak – Toba, Mendailing, Simalungun; Lampung, Jawa, Sunda, Bali (Agha), Lombok, Bajau, Menado, Saluan, Kaili, Pamonma, Tanemperar, Sangihe-Talaud,Gorantalo, Bugis, Iranun, Iban, Bidayuh, dan Aslian. Sementara itu tidak kurang daripada 35 dialek Melayu, termasuk Minangkabau, Kerinci, Deli-Serdang, Riau Pulau dan Riau Daratan, Palembang, Bangkahulu, Betawi, Sakai, Kutai, Banjar, Pasir, Sintang, Ketapang, Sambas, Hulu Kapuas, Cocos, Sri Lanka, Kutai, Melayu Menado, Melayu Kupang, Melayu Makasar, Banda, Ternate, Patani-Kelantan, Terengganu, Pahang-Johor-Melaka, Peranakan Melaka, Peranakan India (Ceti), Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah-Perlis, P Pinang. Di Eropah pula pantun digunakan dalam bahasa Perancis, Inggeris, Belanda dan Jerman.

     Kajian kami masih belum selesai, begitu juga maklumat tentang pantun dan jenisnya.

     Pantun hadir di antara manusia Nusnatara sebagai sebuah taman terindah bahasa, yang selalu dikunjungi mereka. Bunga-bunganya juga berwarna warni, dan wangiannya tanpa bandingan. Bunga-bunga ini disimpan di bibir, dalam ingatan, dalam tulsian dan upacara haria. tanpa pantun manusia Nusantara ini menjadi lebih miskin, lebih kaku dan bisu. Dengannya dia meningkat menjadi ahli falsafah, perenung alamraya, penggubal hokum, ahli agama dan kekasih yang sedang asyik bercumbu, penyanyi yang menarik nasib dan anak yang sedang bermain di padang.

     Kehadiran bentuk ini dapat disemak dalam berbagai-bagai senario. Misalnya, dalam suatu perbincangan sastera suasana mula membosankan, hujah tua diulang-ulang. Udara petang menggalakkan tidur. Ada yang sudah menutup pintu pendengaran atau minatnya. Tapi seorang peserta yang cerah mata bangun menjalin pantun ke dalam hujahnya. Khalayak bangun kembali, digoda oleh baris-baris pantun. Di dalam godaan itu kita baca harapan terhadap kenakalan, ejekan dan juga kebijaksanan. Inilah keajaiban bait purba ini, dulu dan sekarang, memberi jiwa kepada suara, memberi ghairah kepada perasaan manusia di Kepulauan Asia Tenggara ini. 

     Dalam sebuah majlis lainnya di mana irama monoton syair melesukan pendengar, suara yang bagus dan mendayu sedih menggalakkan pendengar keluar dari majlis itu dan memasuki ruang nasibnya sendiri - suara penyanyi tertimbus di bawah irama. Maka dengan strategi penceritaan yang dikenalinya pembaca syair, yang sudah lama dapat membaca rasa hati pendengarnya, merubah rentak nyanyiannya. Wira dan wirawati muda dibenarkan bercumbu-cumbuan, tetapi tidak dalam bentuk syair yang sudah melelapkan pendengar, malah dalam bentuk pantun, yang lebih rumit bentuknya dengan sistem ulur-tarik, buka-tutup dan ejek-pemuasan. Di sini hati pendengar dijentik, perasaan digesek dan akal dipertajam untuk hujah.

     Maka khalayak kembali hidup. Dihadiahkan bunga indah dari taman indah puisi, seluruh benua cerita jadi beralun kembali dengan kenyataan dan fantasi.

     Di sebuah kampung jauh dua orang kekasih cuba saling menyelami perasaan awal mereka. Perkataan biasa cukup disalut sihir pantun, perasaan digugah melalui pembayang dan makna yang merusuh jiwa. Tiada tenang kolam hati mereka, tapi berkocak lama. Dalam baris maksud si gadis misalnya keraguan jejaka diberi jawapan,

Keritih tiram tergantung,
Limau manis banyak bijinya,
Pilih-pilih muda sekampung,
Hitam manis baik budinya.



     Semua senario yang telah saya lukiskan ini membayangkan kuasa pantun, kuasa `sihir’ pantun yang disebut sebagai `magische’ oleh …Ningrat.*

     Pada saya sihir ini bukan saja terjalin dalam baris dan iramanya, sama ukuran dan rimanya, tetapi juga dalam perjalanan jauh bentuk ini dalam sejarah bangsa Nusantara – dari Semenanjung dan Sumatera ke pulau-pulau lain di Nusantara, dan seterusnya ke ruang diaspora bangsa Melayu yang cukup luas dan dalam berbagai-bagai persekitaran baru.

seterusnya....

 

Laman web ini disedia dan diselenggarakan oleh :
Sekretariat Pantun Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. http://pantun.usm.my