PANTUN DAN PSIKODINAMIKA KELISANAN


Oleh: Noriah Taslim
Universiti Sains Malaysia

--------------------------------------------------------
Pengenalan

      Pantun seperti yang dianggap ramai adalah satu bentuk puisi lisan Melayu yang bersifat peribumi. Bentuk pantun sama seperti bentuk puisi macapat di Jawa, tidak memperlihatkan pengaruh bentuk-bentuk prosodi India (mantara/matar/manir, shloka dan kavya) atau Arab/Parsi (syi’r/saj’) - dua tradisi besar yang paling kuat mempengaruhi sastera Melayu tradisional. Rangkap-rangkap pantun yang ringkas dan mudah, mungkin sudah berligar-ligar dalam bentuk kias-ibarat, usik-mengusik, uji-menguji di kalangan masyarakat pra-moden, pra-tulisan, sama seperti perumpamaan, bidalan dan rumus-rumus bahasa bersirat yang lain. Istilah pantun sendiri bagi orang Melayu seringkali digunakan untuk membawa maksud “umpama” atau “ibarat” (lih Za’ba,1965) Dalam ungkapan : “kami sepantun telur itik” atau “tuan sepantun kilat cermin” yang dijumpai dalam rangkap-rangkap pantun lama Melayu, membawa maksud “seperti atau umpama”. Istilah pantun juga sering ditukar ganti dengan perumpamaan. Lihat contoh ayat berikut yang dipetik dari Hikayat Hang Tuah (1975:182): “akan sekarang adalah seperti pantun orang ‘pagar makan padi’”. Dalam ayat tersebut istilah pantun digunakan sama dengan perumpamaan. Malah mengikut teori Wilkinson (1923) dari perumpamaan atau bidalan jugalah rangkap pantun berkembang, mulanya dua baris, kemudian empat baris dan seterusnya lapan baris. Contohnya:

Dari bentuk perumpamaan:

Sudah gaharu cendana pula.

Menjadi pantun dua kerat: 

Sudah gaharu cendana pula,
Sudah tahu bertanya pula.

Kemudian menjadi pantun empat kerat:

Sudah gaharu cendana pula,
Bedak bertemu dalam puan;
Sudah tahu bertanya pula,
Hendak bertemu gerangan tuan.

Dari bentuk perumpamaan: 

Sayangkan kain buangkan baju.

Menjadi pantun dua kerat: 

Sayangkan kain buangkan baju,
Sayangkan lain buangkan aku.

Kemudian menjadi pantun empat kerat:

Sayangkan kain buangkan baju,
Kerana baju panjang lima;
Sayangkan lain buangkan aku,
Kerana aku dagang yang hina. 

      Contoh di atas bukan mencadangkan bahawa semua pantun berkembang secara demikian, tetapi dasarnya perkembangan tersebut telah memunculkan bentuk-bentuk rangkap pantun yang dapat dijadikan model kemudiannya. Perkembangan bentuk pantun ini tentunya selari pula dengan perkembangan tema dan fungsi pantun, sehingga akhirnya pantun membentuk satu khazanah puisi lisan yang amat besar jumlahnya. Namun tanpa kajian filologi serta bukti-bukti yang kukuh, kita masih tidak dapat berbicara dengan pasti tentang pensejarahannya. Walaubagaimanapun, pada kurun ke 14, bentuk pantun yang sudah mantap muncul dalam Hikayat Raja Pasai, karya Melayu tertulis yang dianggap terawal. Namun satu fakta yang tidak dapat disangkalkan ialah kemungkinannya lama sebelum itu, pantun mungkin sudah tersebar luas secara lisan di dunia Melayu. Ia menghiasi dunia seni Melayu melalui keindahan bahasa dan kelokan isinya dan menghibur petani dan nelayan sebagai lirik untuk dendang rakyat (folk songs) atau lagu kerja (work songs). 

      Secara pragmatiknya, pantun mungkin mula dipopularkan sebagai lirik lagu. Mengikut teori Fischer (1961) tentang asal-usul seni, puisi yang terawal adalah muncul dari keperluan untuk membangkitkan semangat kolektif bagi memudahkan dan meringankan sesuatu kerja. Keperluan kepada bentuk-bentuk puisi yang mudah dihafal, tekanan oleh kesepontanan penciptaan mungkin melahirkan ungkapan-ungkapan bersukat dan berima seperti pantun, yang kemudiannya dilagukan untuk mengendur situasi tegang semasa bekerja.

      Pandangan ini tidak menafikan wujudnya juga, mungkin sebelum kedatangan pengaruh kebudayaan India, rumus-rumus bahasa yang bersifat esoterik, disusun menjadi bentuk puisi yang apabila diucap diyakini akan menjana tenaga magis yang dapat mensihir, mententeram dan menundukkan alam dan makhluk-makhluknya. Bentuk-bentuk ujaran tersebut dapat memenuhi keperluan manusia pra-moden untuk berdepan dengan makhluk-makhluk dan alam yang lebih berkuasa dari dirinya. Apabila pengaruh India mula menjalar di bumi Melayu, ungkapan-ungkapan tersebut diformalkan menjadi apa yang diistilahkan sebagai mantera – yakni puisi Melayu yang dipengaruhi oleh bentuk prosodi India – mantara, manir atau matar. Dalam konsepnya yang baru ini mantera muncul sebagai sebahagian daripada ritual agama Hindu dan menjadi ungkapan-ungkapan suci (lagu-lagu puja atau hymns) yang digunakan (terutama oleh Brahmins) untuk memuja tuhan/dewa. Namun kegunaannya yang asal yakni sebagai “magis bahasa” lebih popular di kalangan rakyat. Dalam konsepnya yang demikian mantera tentunya berbeza dari pantun, perkataan-perkataannya berat dengan rujukan dan konotasi ugama, ia bersifat sakral justeru diucapkan dalam situasi yang serious, penuh keupacaraan dan kerahsiaan. Ia menjadi milik golongan manusia yang khas – pawang, dukun, bomoh.

      Bentuk pantun yang unik, sifatnya yang profan, bahasanya yang bebas dari pantang-larang, mungkin menjadikannya mudah dicipta dan kewujudannya yang lebih akrab dengan masyarakat bawahan, memudahkannya tersebar dengan selesa di kalangan masyarakat. Selaras dengan perkembangan budaya dan tamadun manusia, pantun menjadi lebih bertenaga, tukang-tukang pantun dapat berpesta dengan bahasa yang kian kaya perbendaharaannya, unsur-unsur persekitaran pula menjadi lautan ilham yang tidak pernah kering dan pupus. Sebagai unit-unit makna yang dapat wujud kendiri, setiap rangkap pantun boleh membawa satu tema atau ide yang lengkap. Bayangkan betapa banyak ide dan tema yang dapat digarap oleh pantun – tiada nokhtahnya! 

      Alam bukan sahaja menjadi sumber ilham pencipta pantun, tetapi juga menjadi cermin untuknya menatap dan menginsafi diri manusia. Dari imejan sehingga ide atau persoalan, pantun meniru alam, termasuk segala fenomena dan fielnya, untuk menyindir, memujuk dan mendidik manusia. Dengan demikian pantun menyentuh semua penjuru kehidupan manusia, memenuhi hampir keseluruhan hidup dan hayat manusia, ia melingkungi kehidupan kanak-kanak melalui dendangan dodoinya, meniti bersama kedewasaannya untuk meratapi cinta yang tak berbalas, rindu yang tak berkesudahan, melangkah bersamanya untuk merintih nasib seorang perantau dan akhirnya mencecah hari tua untuk menegur dan menasihat. 

seterusnya....

 

Laman web ini disedia dan diselenggarakan oleh :
Sekretariat Pantun Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. http://pantun.usm.my