Kekayaan khazanah pantun Melayu diwarnai oleh sekumpulan pantun yang sungguh istimewa dan unik serta mewakili peri ketinggian daya pemikiran dan kehalusan bahasa Melayu. Pantun tersebut sentiasa segar dalam hafalan masyarakat Melayu, diingati generasi demi generasi, malahan berterusan hingga ke hari ini sebagai khazanah pantun klasik Melayu. Antara pantun yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut tersebut,
Budi yang baik rasa nak junjung.

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.
 

Buah berangan masaknya merah,
Kelekati dalam perahu;
Luka di tangan nampak berdarah,
Luka di hati siapa yang tahu. 

Inderagiri pasirnya lumat,
Kerang berjemur dengan lokan;
Bagaimana nabi kasihkan umat,
Begitulah saya kasihkan tuan.
 

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,

Hutang budi dibawa mati.
 
Puas sudah kutanam padi,
Nenas juga ditanam orang;
Puas sudah kutanam budi,
Emas juga dipandang orang.

Dari mana punai melayang,
Dari paya turun ke padi;
Dari mana datangnya sayang,
Dari mata turun ke hati.
 

Kalau tuan jalan ke hulu,
Carikan saya bunga kemboja;
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga.

Tanjung Katong airnya biru,
Tempat mandi si dara jelita;
Sama sekampung lagikan rindu,
Inikan lagi jauh dimata.
 

Asal kapas menjadi benang,
Asal benang menjadi kain;
Barang yang lepas jangan dikenang,
Sudah menjadi hak orang lain.

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih saya lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Sebab kasih saya turutkan.
 

Tudung periuk pandai menari,
Menari lagu putera mahkota;
Kain yang buruk berikan kami,
Buat menyapu si air mata.

Tanam pinang rapat-rapat,
Biar senang puyuh berlari;
Kupinang-pinang tetapi tak dapat,
Kupujuk-pujuk kubawa lari.

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.
 
Sayang laksamana mati dibunuh,
Mati dibunuh datuk menteri;
Tuan umpama minyak yang penuh,
Sedikit tidak tertumpah lagi.

Nyiur gading puncak mahligai,
Sayang ketupat berisi inti;
Hancur daging tulang berkecai,
Belum dapat belum berhenti.
 

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Tuan jauh di negeri satu,
Hilang di mata di hati jangan.

Kalau roboh kota Melaka,
Papan di Jawa saya dirikan;
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa saya serahkan
 
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Kajang tuan kajang berlipat,
Kajang saya mengkuang layu;
Dagang tuan dagang bertempat,
Dagang saya bertumpang lalu.
 

Halia ini tanam-tanaman,
Ke barat juga akan condongnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.

Berburu ke padang jajar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.
 
Padi muda jangan dilurut,
Kalau dilurut pecah batangnya;
Hati muda jangan diturut,
Kalau diturut salah datangnya.

Kalau mengail di lubuk dangkal,
Dapat ikan penuh seraga;
Kalau kail panjang sejengkal,
Jangan lautan hendak diduga.
 

Anak dara menumbuk pandan,
Membuat kuih hidangan kenduri;
Ilmu yang baik jadikan teladan,
Segala yang buruk letak ke tepi.

Rumah kecil tiang seribu,
Rumah besar tiang sebatang;
Kecil-kecil ditimang ibu,
Sudah besar ditimang gelombang.
Kalau ada jarum patah,
Jangan simpan di dalam hati;
Kalau ada silap dan salah,
Jangan simpan di dalam hati.

Malam ini merendang jagong,
Malam esok merendang serai;
Malam ini kita berkampung,
Malam esok kita bercerai.
 
   
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita bersama mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.
 

Laman web ini disedia dan diselenggarakan oleh :
Sekretariat Pantun Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. http://pantun.usm.my